Saturday, November 1, 2008

Ilmu

Baru-baru ini, saya sering mendengar tazkirah, khutbah dan perbincangan yang berkisar tentang ilmu. Seperti kita semua sedia maklum, untuk kembali menjadi ummah contoh, seseorang individu muslim itu perlu kembali menguasai ilmu. Masalah-masalah yang berlaku di dalam dunia Islam, baik dari sudut akhlak dan pentadbiran negara, kebanyakkannya bermula daripada kekeliruan serta ketandusan ilmu dalam diri individu muslim tersebut.

Dalam kesempatan ini, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak pemahaman saya terhadap ilmu.

Alam yang kita duduki sekarang ini boleh diumpamakan sebagai sebuah buku, sebuah buku yang hebat dan besar. Perkataan-perkataan yang ada di dalam buku tersebut merupakan binaan-binaan alam ini; seperti laut, awan, tanah, batu, manusia, bangunan-bangunan, malah, pemikiran, jiwa dan naluri manusia juga termasuk dalam karangan buku tersebut. Buku dan isi yang terkandung di dalamnya adalah kata-kata Penulis kepada pembaca. Setiap perkataan, setiap perenggan dan setiap bab di dalam buku tersebut adalah satu bentuk simbol dan tanda; dan kita sebagai pembaca buku itu perlu memahami apakah maksud atau makna di balik simbol dan tanda itu.

Namun, jika kita membaca (belajar/menelaah/mendalami) perkataan di dalam buku ini hanya sekadar memahami perkataannya sahaja, maka matlamat pembacaan itu menjadi kurang tepat. Tambahan, jika kita membaca (belajar/menelaah/mendalami) perkataan itu tanpa menyedari atau mengakui ia sebagai satu simbol dan petunjuk, ia juga menyebabkan matlamat pembacaan kita terpesong.

Dalam konteks ini, tujuan dan matlamat asal buku itu ditulis oleh sang Penulis adalah untuk memberitahu tentang kebenaran (Haq) kepada pembaca. Kita sebagai pembaca buku ini, perlu memahami dan menghayati maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh sang Penulis buku ini. Sememangnya kita perlu belajar untuk memahami perkataan yang tertulis di dalam buku itu, namun pembelajaran/pemahaman kita bukan sekadar terhenti di perkataan yang tertulis itu sahaja, tetapi perlu untuk kita teruskan pembelajaran/pemahaman kita untuk mengerti matlamat dan tujuan asal penulisan buku ini.

Huraiannya, buku yang dimaksudkan itu adalah alam dan kehidupan yang ada di atas alam ini. Kita sebagai mahasiswa sains, baik sains sosial atau sains aplikasi, telah diberi peluang untuk memahami aturan alam ini atau sunatullah-Nya. Namun, apakah cukup pembelajaran kita sekadar memahami aturan alam ini tanpa memahami kenapa alam ini diaturkan sebegitu rupa, atau mengenali siapa yang mengatur alam ini? Sesungguhnya, ilmu tentang alam itu adalah dari Allah, dan Allah-lah yang 'menulis' buku itu untuk kita memahami dan merenungi 'tulisan-Nya.' Dengan 'membaca perkataan' yang tertulis di 'buku' ini, harapnya kita akan lebih memahami apa yang ingin disampaikan oleh 'Penulis' itu.

Kesimpulannya, kita sebagai mahasiswa, perlu mempergiatkan lagi pemahaman kita terhadap ilmu yang kita pelajari. Kita bukan sekadar bertanggungjawab untuk memahami sains itu sahaja, namun sebagai individu muslim, kita perlu memahami hakikat dan tujuan sains itu sendiri, mengikut kaca mata kita (kaca mata Islam). Segala cabaran dan halangan dalam cabang ilmu sains ini, perlulah kita hadapi, dengan matlamat untuk mencapai maksud dan hakikat di balik ilmu sains ini. Semoga, dengan kefahaman kita di dalam cabang ilmu ini, maka mudahlah kita untuk memahami apa yang 'ditulis' oleh sang 'Penulis' itu.

p/s; Selamat maju jaya kepada mahasiswa yang bakal menghadapi peperiksaan akhir semester. Semoga kita dapat melalui cabaran ini dengan cemerlang dan mengerti hakikat pembelajaran kita selama ini. Selamat bermujahadah!

bacaan lanjut;
Islam and Secularism - Bab V: The Dewesternization of Knowladge. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

1 comment:

Unknown said...

Moga kita diberi petunjuk olehNya utk memahami 'bukuNya'. Selamat mujahadah.