Thursday, October 30, 2008

Provokasi

Sekadar catatan ringkas sahaja.

Aku gemar singgah tulisan-tulisan para sahabat, baik yang kukenali atau tak kukenali di alam maya ini. Banyak betul tulisan-tulisan yang merangsang pemikiran dan mampu mengetuk pintu jiwa.

Namun, aku tertanya-tanya sendiri. Kenapa kupasan-kupasan yang menyentuh isu realiti selalunya bermain dengan nada provokasi. Misalnya, dalam isu bangsa, kita lebih cenderung untuk mengutuk bangsa sendiri. Contohnya seperti berikut (ayat ini tidak diambil dari mana-mana, cuma direka sendiri untuk menggambarkan apa yang sering kita tulis);

"Bangsa ini memang pemalas! Semua hendak diberi subsidi!"

Pada pendapatku, provakasi dalam pengarangan itu diperlukan. Namun, kita perlu bertanya kepada diri, sejauh mana kita selesa menggunakan provokasi. Oh ya, tahukah apa makna provokasi?

Provokasi


perbuatan membangkitkan kemarahan, minat, dsb: saya mendiamkan diri dan tidak menyambut ~nya; memprovokasi 1. membangkitkan kemarahan: barangkali kamu dipukul kerana kamu ~nya; 2. membangkitkan, menimbulkan, mencetuskan: biarlah saya mengadakan sedikit renungan terhadap ketiga-tiga unsur tersebut, sekurang-kurangnya utk ~ pemikiran.


Nah, provokasi ini mempunyai kontasi negatif rupanya. Aku sedikit bimbang, jika kita terus-terusan membanjiri dunia pengarangan bangsa kita dengan provokasi, kelak semua orang marah-marah. Atau lebih teruk lagi, habis semua hilang keyakinan diri. Ini berikutan, provokasi juga boleh dianggap kata yang merendah-rendahkan seseorang itu. Takut-takut nanti pula masyarakat kita tidak berani langsung mengangkat kepala kerana setiap hari dia membaca tulisan-tulisan yang secara tidak langsung merendahkan martabatnya.

Jadi, cadanganku, apa kata kita memberi ruang sedikit untuk menghargai seseorang itu dalam memberi kritikan. Orang yang dikritik itu juga mempunyai peribadi, dan peribadi itu perlulah kita hormati. Jangankan kerana kesilapan kecil, kita melupakan kebolehan dan keupayaannya yang lebih besar.

Kesimpulannya, kita boleh mencuba cara selain daripada nada provokasi untuk mengkritik. Memberi dorongan adalah salah satu cara.

p/s: entri ini berbau provokasi tak?

No comments: