Sunday, October 26, 2008

Hidup itu membuat pilihan?

Sebelum ini, aku sering bertanya dalam hati ini, betulkah hidup itu adalah untuk membuat pilihan?

Aku bangun pagi, melihat jam tangan baru pukul lima. Aku diberi pilihan untuk tidur semula atau bangun untuk bersolat subuh, sungguhpun ketika itu baru sahaja masuk waktu subuh. Kemudian, untuk ke universiti, aku mempunyai pilihan untuk menaiki bas atau berjalan kaki, walaupun kampus aku itu taklah jauh mana. Dalam bab makan pun, aku juga diberi pilihan. Sama ada aku makan pada waktu senggang tengah hari di Knoodle (restoran cina halal yang popular di kalangan mahasiswa Petronas), atau menundanya hingga petang hari (mahasiswa Petronas diberi makan sekali sahaja sehari).

Namun, semua itu berlegar-legar atas memilih dan membuat pilihan juga.

Jadi, apakah benar hidup itu adalah membuat pilihan juga?

Dan, jika benar, kenapa pula kita dihidupkan untuk membuat pilihan-pilihan itu?

Kesempatan ini, saya mahu sekali mengucapkan jutaan terima kasih untuk saudara Nizam kerana merungkai persoalan yang berlegar di dalam hati ini. Perbincangan yang panjang Sabtu lalu menjelaskan sedikit sebanyak apa yang bermain di jiwa dan fikiran ini;

Manusia ini pada mulanya diciptakan serba lemah, zalim dan bodoh, faqir dan dilahirkan dengan fitrah (fitrah manusia serba kekurangan). Kemudian, manusia itu ditiupkan roh dan Allah muliakan dengan sebenar-benar kemulian. Ini kerana, segala yang ada diciptakan di langit dan di bumi diciptakan Allah untuk kegunaan manusia.

Kemudian, manusia ini kemudian diberi dua amanah oleh Allah apabila diutuskan ke dunia. Amanah atau boleh disebut sebagai tujuan itu adalah; pertama, untuk beribadah kepada Allah dengan menjadi hamba yang taat, kedua, untuk menjadi khalifah (pengganti) untuk mentadbir bumi ini sebagaimana dikehendaki oleh Allah.

Untuk mencapai matlamat/tujuan itu, Allah tidak membiarkan manusia terkontang-kanting mencari. Allah membekalkan manusia pula dengan didikan supaya manusia tahu untuk sampai ke matlamat yang diamanahkan oleh Allah itu. Kata Nizam, terdapat 3 jenis cara Allah mendidik manusia;

1) Didikan dalaman -
Allah memberi manusia ilham untuk membezakan antara kejahatan dan kebaikan. Selain itu, Allah juga memberi hidayah kepada insan-insan yang terpilih untuk mengenali dosa dan pahala.

2) Didikan luaran -
Allah mengutuskan Rasulullah untuk memberi hikmah kepada manusia, untuk mendidik manusia bagaimana untuk menggunakan ilham dan hidayah yang diberi. Apa yang dibawa oleh Rasulullah itu adalah petunjuk dan dinul haq.

3) Didikan lain-lain -
Akal dan pancaindera yang dibekalkan oleh Allah boleh digunakan untuk memahami dan melaksanakan perintah Allah tadi.

Akhirnya, dengan semua yang diberikan Allah tadi, baik dari segi jasad, ruh, tujuan penciptaan dan didikan, barulah Allah mengizinkan manusia untuk membuat pilihan dalam kehidupan ini. Namun, dalam proses membuat keputusan itu, Allah tidak juga membiarkan manusia. Dia Yang Maha Pengasih akan membantu pula manusia dalam membuat pilihan itu. Jika kita berkehendakkan kebaikan, maka Allah akan membantu kita untuk memperoleh kebaikan, malah menambah lagi kebaikan kepada diri kita.

Bayangkanlah, dalam kehidupan yang sesingkat ini, kita diberi kuasa untuk memilih apa cara hidup kita di akhirat nanti, sama ada abadi di dalam syurga atau kekal di dalam neraka. Kata Nizam, kita perlu tahu yang Allah berhak untuk membuat begitu kerana sebelum ini, Dia melepaskan manusia untuk membuat pilihan antara syurga dan neraka (ultimate choice), Dia telah kurniakan pelbagai-bagai petunjuk untuk manusia membuat pilihan yang sepatutnya manusia itu pilih.

Kesimpulannya, memang benarlah hidup ini adalah untuk membuat pilihan. Namun, pilihan yang kita buat ini bukan pilihan yang tiada dasar tak tentu mana arahnya. Segalanya Allah telah tunjukkan dengan jelas sejak manusia itu dilahirkan ke dunia ini lagi. Terpulanglah kepada kita untuk menyelongkar ayat-ayat-Nya itu dan memahami kehebatan penciptaan-Nya yang wujud di sekeliling kita itu.

p/s: teringat khutbah jumaat di Masjid Behor Pulai waktu sekolah dahulu. Khatib selalu mengingatkan sidang Jumaat dengan ayat berikut;

"Kami menyediakan mereka dua jalan, jalan yang baik untuk dijalaninya dan jalan yang buruk untuk dijauhinya."

No comments: