Thursday, October 30, 2008

Provokasi

Sekadar catatan ringkas sahaja.

Aku gemar singgah tulisan-tulisan para sahabat, baik yang kukenali atau tak kukenali di alam maya ini. Banyak betul tulisan-tulisan yang merangsang pemikiran dan mampu mengetuk pintu jiwa.

Namun, aku tertanya-tanya sendiri. Kenapa kupasan-kupasan yang menyentuh isu realiti selalunya bermain dengan nada provokasi. Misalnya, dalam isu bangsa, kita lebih cenderung untuk mengutuk bangsa sendiri. Contohnya seperti berikut (ayat ini tidak diambil dari mana-mana, cuma direka sendiri untuk menggambarkan apa yang sering kita tulis);

"Bangsa ini memang pemalas! Semua hendak diberi subsidi!"

Pada pendapatku, provakasi dalam pengarangan itu diperlukan. Namun, kita perlu bertanya kepada diri, sejauh mana kita selesa menggunakan provokasi. Oh ya, tahukah apa makna provokasi?

Provokasi


perbuatan membangkitkan kemarahan, minat, dsb: saya mendiamkan diri dan tidak menyambut ~nya; memprovokasi 1. membangkitkan kemarahan: barangkali kamu dipukul kerana kamu ~nya; 2. membangkitkan, menimbulkan, mencetuskan: biarlah saya mengadakan sedikit renungan terhadap ketiga-tiga unsur tersebut, sekurang-kurangnya utk ~ pemikiran.


Nah, provokasi ini mempunyai kontasi negatif rupanya. Aku sedikit bimbang, jika kita terus-terusan membanjiri dunia pengarangan bangsa kita dengan provokasi, kelak semua orang marah-marah. Atau lebih teruk lagi, habis semua hilang keyakinan diri. Ini berikutan, provokasi juga boleh dianggap kata yang merendah-rendahkan seseorang itu. Takut-takut nanti pula masyarakat kita tidak berani langsung mengangkat kepala kerana setiap hari dia membaca tulisan-tulisan yang secara tidak langsung merendahkan martabatnya.

Jadi, cadanganku, apa kata kita memberi ruang sedikit untuk menghargai seseorang itu dalam memberi kritikan. Orang yang dikritik itu juga mempunyai peribadi, dan peribadi itu perlulah kita hormati. Jangankan kerana kesilapan kecil, kita melupakan kebolehan dan keupayaannya yang lebih besar.

Kesimpulannya, kita boleh mencuba cara selain daripada nada provokasi untuk mengkritik. Memberi dorongan adalah salah satu cara.

p/s: entri ini berbau provokasi tak?

Tuesday, October 28, 2008

Bercakap dengan pensyarah

Terasa tajuk entri ini macam nama buku Tamar Jalis; Bercakap dengan Jin, pula. Hehe

Tetapi, bukan kisah jin yang ingin aku catatkan. Cuma, peluang bersembang dengan pensyarah Igneous & Metamorphic II petang tadi mengingatkan saya kepada tafsir Al-Azhar berkenaan surah An-Naziat;

"Dan bumi itu pun sesudah itu, Dia datarkan (pula) dianya." (ayat 30). Artinya, sesudah itu, yaitu sesudah Allah Ta'ala mengatur langit dengan ruang angkasanya, dengan cakrawalanya, maka Allah pun mulailah mendatarkan bumi. Mendatarkan bumi artinya bukanlah semata-mata datar, melainkan datar buat dapat didiami oleh manusia. Dengan memahamkan ayat ini dapatlah kita menyimpulkan bahwa Allah menciptakan terlebih dahulu keseluruhan alam dan kemudian dari itu baru menyediakan tempat bagi manusia dalam bumi. Jelas bahwa manusia ini lama kemudian baru terjadi, baru didatarkan atau dihamparkan bumi buat tempat diamnya, atau baru disediakan syarat-syarat bagi manusia buat dapat hidup di bumi itu.

Namun, aku bukanlah layak untuk menambah lagi tafsiran yang telah dibuat oleh Prof HAMKA ini. Di sini aku cuma ingin berkongsi sedikit sebanyak apa yang kami bualkan.

Sebenarnya, Professor atau sebetulnya guru geologi bab batu jenis igneous ini menceritakan sedikit sebanyak tentang geologi Asia Tenggara, fokus kepada Indonesia. Pengalaman selama 8 bulannya di Indonesia untuk tesis PhD telah memperkayakan pengalamannya selaku ahli kaji bumi.

Seperti yang kita tahu, Indonesia adalah kepulauan yang kaya dengan gunung berapi. Ia terdiri daripada beberapa pulau-pulau yang besar. Aku masih mengingati pelajaran geografi waktu tingkatan 3 dahulu, yang Indonesia ini terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik (Rujuk rajah di bawah).
Sebab utama Indonesia mempunyai banyak gunung berapi kerana ia terletak di kawasan subduction - di mana plat lautan terbenam masuk ke dalam mantel kerana berketumpatan tinggi (mantel berketumpatan rendah berbanding plat lautan). Plat lautan ini kemudian mencair di dalam mantel kerana suhu mantel adalah tinggi. 1200 darjah Celcius kalau tak silapku. Kemudian, kerana perbezaan tekanan di bawah bumi itu, plat lautan yang telah mencair ini akan naik ke atas, menembusi plat benua yang terletak bersebelahan dengannya. (Sila rujuk rajah di bawah)


Plum mantel itu akan bergerak ke atas, lalu membentuk gunung berapi. Gunung berapi itu akan membentuk berkumpul lalu membentuk Volcanic Island arc. Indonesia adalah salah satu contoh Volcanic Island arc itu. Proses timbunan lava yang keluar dari perut bumi, kemudian mengeras dan akhirnya membentuk pulau mengambil masa 20 juta tahun. Mengikut sela masa geologi, set batu kepulauan Indonesia adalah berasal dari sela masa Miocene. Kalau hendak dikira, Miocene ini adalah set batu yang muda. Ini berikutan, mengikut kajian ahli geologi, umur bumi ini sudah 465 juta tahun!

Sekarang, proses itu timbunan lava dari perut bumi masih lagi berjalan, namun tidaklah seaktif jutaan tahun lampau. Indonesia juga subur kerana tanah yang terbentuk daripada magma banyak menyediakan galian yang baik untuk tumbuh-tumbuhan. Dengan kesuburan tanahnya, manusia pun mendirikan ketamadunan, seperti Srivijaya, Majapahit, Aceh dan sebagainya.

Kesimpulannya, bumi yang kita duduki sekarang ini telah mengalami pelbagai proses yang lama dan panjang. Selama berjuta-juta tahun, telah berlaku perubahan demi perubahan sehinggalah Indonesia sekarang itu sesuai untuk diduduki dan didiami oleh manusia.

sumber gambar: wikipedia

p/s; Professor John sangat baik dan panjang lebar penerangannya kalau kita bertanya soalan.

Sunday, October 26, 2008

Made for you

Sengaja saya letakkan tajuk entri ini dalam bahasa orang putih. Macam orang kata, "Biar, catchy sikit!"

Pernah tak kita tiba-tiba terbangun di tengah malam, tidak kiralah kerana orang mabuk buat bising sewaktu Friday Nights, atau pekerja bandaraya yang terlebih rajin mencuci jalan tengah-tengah malam waktu kita sedang nyenyak tidur, atau kerana kita bermimpi sedang terjatuh di dalam gaung?

Jangan tipu, kerana saya yakin, kita semua mesti pernah tiba-tiba terbangun ketika sedang nyenyak tidur.

Namun, isunya bukan fasal orang terkejut waktu tengah sedap bermimpi atau sedang enak lena.

"Alang-alang dah terbangun di tengah malam tu, cuba gagahkan diri untuk lompat dari katil. Kemudian, pergi ke tingkap. Bukan untuk menyumpah orang buat bising di luar, tapi pandanglah ke langit."

Kenapa kita nak pandang ke langit?

"Jangan tanya lagi, tengoklah dulu langit tu!"

Banyaknya bintang-bintang. Eh, malam ini bulan purnamalah. Wah, besarnya bulan itu. Rupanya malam ini cerah, sebab petang tadi mendung benar. Cantiknya langit malam ini.

"Nah, sebab itulah aku suruh kau tengok langit, bukan marah orang buat bising."

Saya teringat pelajaran astronomi yang saya ambil tahun lalu, sewaktu semester satu.

Proses kejadian bintang bukan mudah.

Mula-mula, gas yang bersepah di ruang angkasa dikumpulkan, kemudian dimampatkan. Daripada gas yang termampat itu, akan terhasillah haba kerana tekanan yang begitu tinggi. Gas-gas yang ada disekeliling akan berkumpul ke bintang baru itu dan membentuk jasad yang lebih besar. Bintang baru tersebut akan mengumpulkan seberapa banyak gas yang ada disekelilingnya kerana semakin besar bebola bintang itu, semakin kuatlah tarikan graviti. Kerana di dalam teras bintang baru itu terlalu panas, elemen-elemen di dalam bintang akan terurai dan melalui proses radioaktif. Melalui proses radioaktif ini, semakin banyak haba bakal terhasil.

Mengikut hukum Stefan-Boltzman, semakin banyak haba yang dihasilkan, semakin tinggilah keamatan cahaya yang terpancar.

Mari kita kembali semula ke tingkap bilik sambil memandang langit.

Bayangkan, proses yang dilalui bintang itu sehingga ia menjadi satu objek yang dapat dilihat oleh kita sekarang. Kita yang berada berjuta-juta tahun cahaya (jauh sangat sampai tak terukur dengan unit metrik) dari bintang itu, dapat melihatnya memancar dengan terang.

Namun, pernahkah kita terfikir, kenapa Allah menciptakan bintang yang sangat jauh itu? Apa kaitannya pula dengan kita di muka bumi ini?

Jom buka Quran surah Al-Baqarah ayat 29.


Malam - Hijjaz

p/s; sekarang, bolehlah kita marah dekat orang putih yang buat bising dekat luar tu.

Hidup itu membuat pilihan?

Sebelum ini, aku sering bertanya dalam hati ini, betulkah hidup itu adalah untuk membuat pilihan?

Aku bangun pagi, melihat jam tangan baru pukul lima. Aku diberi pilihan untuk tidur semula atau bangun untuk bersolat subuh, sungguhpun ketika itu baru sahaja masuk waktu subuh. Kemudian, untuk ke universiti, aku mempunyai pilihan untuk menaiki bas atau berjalan kaki, walaupun kampus aku itu taklah jauh mana. Dalam bab makan pun, aku juga diberi pilihan. Sama ada aku makan pada waktu senggang tengah hari di Knoodle (restoran cina halal yang popular di kalangan mahasiswa Petronas), atau menundanya hingga petang hari (mahasiswa Petronas diberi makan sekali sahaja sehari).

Namun, semua itu berlegar-legar atas memilih dan membuat pilihan juga.

Jadi, apakah benar hidup itu adalah membuat pilihan juga?

Dan, jika benar, kenapa pula kita dihidupkan untuk membuat pilihan-pilihan itu?

Kesempatan ini, saya mahu sekali mengucapkan jutaan terima kasih untuk saudara Nizam kerana merungkai persoalan yang berlegar di dalam hati ini. Perbincangan yang panjang Sabtu lalu menjelaskan sedikit sebanyak apa yang bermain di jiwa dan fikiran ini;

Manusia ini pada mulanya diciptakan serba lemah, zalim dan bodoh, faqir dan dilahirkan dengan fitrah (fitrah manusia serba kekurangan). Kemudian, manusia itu ditiupkan roh dan Allah muliakan dengan sebenar-benar kemulian. Ini kerana, segala yang ada diciptakan di langit dan di bumi diciptakan Allah untuk kegunaan manusia.

Kemudian, manusia ini kemudian diberi dua amanah oleh Allah apabila diutuskan ke dunia. Amanah atau boleh disebut sebagai tujuan itu adalah; pertama, untuk beribadah kepada Allah dengan menjadi hamba yang taat, kedua, untuk menjadi khalifah (pengganti) untuk mentadbir bumi ini sebagaimana dikehendaki oleh Allah.

Untuk mencapai matlamat/tujuan itu, Allah tidak membiarkan manusia terkontang-kanting mencari. Allah membekalkan manusia pula dengan didikan supaya manusia tahu untuk sampai ke matlamat yang diamanahkan oleh Allah itu. Kata Nizam, terdapat 3 jenis cara Allah mendidik manusia;

1) Didikan dalaman -
Allah memberi manusia ilham untuk membezakan antara kejahatan dan kebaikan. Selain itu, Allah juga memberi hidayah kepada insan-insan yang terpilih untuk mengenali dosa dan pahala.

2) Didikan luaran -
Allah mengutuskan Rasulullah untuk memberi hikmah kepada manusia, untuk mendidik manusia bagaimana untuk menggunakan ilham dan hidayah yang diberi. Apa yang dibawa oleh Rasulullah itu adalah petunjuk dan dinul haq.

3) Didikan lain-lain -
Akal dan pancaindera yang dibekalkan oleh Allah boleh digunakan untuk memahami dan melaksanakan perintah Allah tadi.

Akhirnya, dengan semua yang diberikan Allah tadi, baik dari segi jasad, ruh, tujuan penciptaan dan didikan, barulah Allah mengizinkan manusia untuk membuat pilihan dalam kehidupan ini. Namun, dalam proses membuat keputusan itu, Allah tidak juga membiarkan manusia. Dia Yang Maha Pengasih akan membantu pula manusia dalam membuat pilihan itu. Jika kita berkehendakkan kebaikan, maka Allah akan membantu kita untuk memperoleh kebaikan, malah menambah lagi kebaikan kepada diri kita.

Bayangkanlah, dalam kehidupan yang sesingkat ini, kita diberi kuasa untuk memilih apa cara hidup kita di akhirat nanti, sama ada abadi di dalam syurga atau kekal di dalam neraka. Kata Nizam, kita perlu tahu yang Allah berhak untuk membuat begitu kerana sebelum ini, Dia melepaskan manusia untuk membuat pilihan antara syurga dan neraka (ultimate choice), Dia telah kurniakan pelbagai-bagai petunjuk untuk manusia membuat pilihan yang sepatutnya manusia itu pilih.

Kesimpulannya, memang benarlah hidup ini adalah untuk membuat pilihan. Namun, pilihan yang kita buat ini bukan pilihan yang tiada dasar tak tentu mana arahnya. Segalanya Allah telah tunjukkan dengan jelas sejak manusia itu dilahirkan ke dunia ini lagi. Terpulanglah kepada kita untuk menyelongkar ayat-ayat-Nya itu dan memahami kehebatan penciptaan-Nya yang wujud di sekeliling kita itu.

p/s: teringat khutbah jumaat di Masjid Behor Pulai waktu sekolah dahulu. Khatib selalu mengingatkan sidang Jumaat dengan ayat berikut;

"Kami menyediakan mereka dua jalan, jalan yang baik untuk dijalaninya dan jalan yang buruk untuk dijauhinya."

Terasa nak bercerita

Awal sekali, aku ingin mengucapkan syukur kepada Allah kerana atas rahmatnya, tergerak hati aku untuk membuka laman ini. Selawat atas Nabi Muhammad, ahli keluarga, para sahabat, tabi', tabi' tabiin dan para ulama serta para pejuang yang menyebarkan kebenaran Islam dan hakikat kehidupan yang sebenar.

20 tahun kehidupan, yang penuh dengan warna-warnanya, terasa rugi juga kalau tidak dikongsi. Mungkin, inilah ruang untuk aku berceloteh sedikit sebanyak pun kerana aku sendiri bukanlah insan yang pandai bercakap sangat. Kalau berbicara, tak ramai yang faham apa yang aku perkatakan. Jadi, apa kata kalau aku tuliskan apa yang aku rasakan itu, untuk kalian semua mengerti sama apa perasaan yang tergetar dalam hati ini.

Baiklah.

Selamat datang aku ucapkan. Semoga dunia mengalu-alukan kedatangan aku juga.