Friday, November 14, 2008

Nasihat Waqi'



ََشكَوْتُ إِلَى وَقِعٍ سُوْءَ حِفْظى
فَأَرْشَـدَنِي إلى تَرْكِ المَعاصِي
وَأَخْـبَرَني بِـأَن العِلمَ نُـورٌ
ونُـورُ اللهِ لا يُهدَي للعَاصى


Maksud syair:
Aku(Imam Syafiee) telah mengadu kepada guruku Waqi’ tentang buruknya hafalanku,
Beliau menasihatkanku supaya meninggalkan maksiat,
Beliau memberitahuku sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya,
Dan sesungguhnya cahaya Allah itu tidak akan dianugerahkan kepada mereka yang melakukan maksiat

Sekarang musim peperiksaan akhir, masing-masing berkurung di dalam bilik atau di dalam perpustakaan; hanya bersama dengan nota kuliah dan buku-buku. Kalau mahasiswa kejuruteraan, mereka akan berkepit dengan kalkulator juga. Masa yang ada, digunakan sepenuhnya untuk menghafal, mengingat, memahami dan menguasai pengetahuan yang dipelajari sejak satu semester lepas.

Pernahkah kita terfikir, apakah yang kita pelajari sekarang adalah ilmu? Atau ianya sekadar satu bentuk pengetahuan sahaja? Bolehkah jurusan yang kita ambil sekarang ini dianggap sebagai ilmu? Apakah tafsiran ilmu sebenarnya?
Apakah kita tahu tuntutan ilmu?

Persoalan ini akan jadi lebih menarik sekiranya perbincangan tentang ilmu dibawa dekat dengan diri kita. Mengapa kita lihat, masyarakat barat (dari kaca mata kita sebagai muslim) yang tidak mempercayai Maha Pencipta dan Maha Pemelihara, dapat menguasai pengetahuan itu dengan sebaiknya? Tetapi, kita yang mempunyai iman, sama sekali ketinggalan jauh dalam penguasaan kita terhadap pengetahuan sains itu? Di manakah kebenaran nasihat Waqi kepada Imam Syafie yang mengatakan ilmu itu cahaya Allah dan tidak akan dianugerahkan kepada mereka yang melakukan maksiat?

Perlu diingat, bukan tugas kita untuk menyalahkan sesiapa dalam kekeliruan atau kecelaruan dalam mencari hakikat ilmu itu. Apa yang boleh kita lakukan adalah mencari semula apakah maksud dan matlamat ilmu itu sebenarnya.

Saya bukanlah orang yang layak untuk mengetengahkan definisi tentang ilmu. Perbincangan tentang hakikat ilmu ini telah berlangsung sekian lama, bahkan sejak zaman kegemilangan Islam lagi. Berikut saya tampilkan tulisan Prof Syed Naquib Al-Attas tentang ilmu;

There have been distinctions made between God's Knowladge, and the knowladge of man about God, and religion, and the world, and things sensible and intelligible; about spiritual knowladge and wisdom. Thus, for example, knowladge has been understood to mean the Holy Quran; the Revealed Law (Shariah); The Sunnah; Islam; Faith (Iman); Spiritual Knowladge ('Ilm Al-Laduniyy), Wisdom (Hikmah), and Gnoiss (Makrifah), also generally referred to as Light; Thought; Science (specific 'ilm, to which the plural: 'ulum is applied); Education.

(Dewesternization of Knowladge, Islam and Secularism, Al-Attas)

Nah, apakah kita sudah mencapai tuntutan ilmu itu, atau sebahagian darinya sahaja? Berdasarkan petikan di atas, dapatlah kita fahami yang ilmu yang tertinggi adalah Ilmu Al-Quran dan As-Sunnah (syariah) dan apa yang kita cuba kuasai sekarang adalah Pengetahuan sains (Sunnatullah), iaitu salah satu cabang dalam ilmu tersebut.

Apakah kita membawa pengetahuan sains ini untuk mencapai pemahaman kita terhadap ilmu syariah? Kita perlu ingat, yang ilmu syariah itu tidak hanya terkurung kepada perbahasan hukum-hukum fikah, seperti bagaimana hendak mengambil wudhuk, bagaimana hendak menguruskan jenazah dan sebagainya. Ilmu syariah itu lebih luas daripada itu sebenarnya. Contohnya, ilmu mengenal hakikat kehidupan, mengesani tanda kewujudan Tuhan di alam ini, mencari tanggungjawab sebenar sebagai seorang manusia juga terkandung di dalam ilmu syariah.

Kalau otak kita hanya sekadar bergelumang dengan pengetahuan yang kejayaannya hanya diukur dengan peperiksaan dan kebolehan mendapat kerjaya sahaja, maka rugilah otak itu dikurniakan kepada manusia. Lebih bagus jika kita dikurniakan mesin pengingat untuk mengingat fakta-fakta daripada kita bersusah payah menghafal kata nama saintifik yang susah-susah. Saya kira jika kita masih bersikap seperti sekarang, ia tidaklah memenuhi hakikat sebenar ilmu itu. Kita hanya bermain-main sahaja dengan pengetahuan, tanpa mengetahui apakah tujuan sebenar pengetahuan itu dikurniakan kepada manusia. Pada pendapat saya, pengetahuan sains yang sedang kita kuasai ini adalah salah satu alat atau perkakas untuk kita memahami hakikat ilmu yang lebih tinggi, iaitu ilmu syariah yang saya katakan tadi.

Saya sama sekali tidak mendakwa yang kita hanya perlu mempelajari ilmu syariah sahaja, dan meninggalkan terus pengetahuan sains yang sedang dipelajari. Namun, apa yang ingin saya sampaikan adalah, kita wajib membawa pengetahuan yang kita pelajari ini kepada tempat yang sepatutnya. Tanggungjawab kita sebagai mahasiswa sains adalah untuk menguasai pengetahuan ini dengan sebaiknya, kemudian membawanya ke tempat asalnya, seperti yang dituntut dalam Al-Quran. (Saya menggalakkkan saudara sekalian membaca tafsir Juzuk Amma (Juzuk 30) di mana Allah menggesa manusia memerhatikan alam ini untuk mencari kebenaran dan hakikat penciptaannya).

Jadi, apa yang ingin disampaikan oleh Waqi' adalah tentang ilmu yang sebenar yang berupa cahaya dari Allah, yang boleh juga dikatakan hidayah. Tidak adillah kita sekiranya kita membiarkan pengetahuan ini sekadar pengetahuan sahaja, tanpa membawanya ke tempat yang sepatutnya; sebagai alat untuk memahami hakikat kebenaran dan hakikat penciptaan alam. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil, dia tidak membiarkan manusia itu terkapai-kapai mencari-Nya.

Saturday, November 1, 2008

Ilmu

Baru-baru ini, saya sering mendengar tazkirah, khutbah dan perbincangan yang berkisar tentang ilmu. Seperti kita semua sedia maklum, untuk kembali menjadi ummah contoh, seseorang individu muslim itu perlu kembali menguasai ilmu. Masalah-masalah yang berlaku di dalam dunia Islam, baik dari sudut akhlak dan pentadbiran negara, kebanyakkannya bermula daripada kekeliruan serta ketandusan ilmu dalam diri individu muslim tersebut.

Dalam kesempatan ini, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak pemahaman saya terhadap ilmu.

Alam yang kita duduki sekarang ini boleh diumpamakan sebagai sebuah buku, sebuah buku yang hebat dan besar. Perkataan-perkataan yang ada di dalam buku tersebut merupakan binaan-binaan alam ini; seperti laut, awan, tanah, batu, manusia, bangunan-bangunan, malah, pemikiran, jiwa dan naluri manusia juga termasuk dalam karangan buku tersebut. Buku dan isi yang terkandung di dalamnya adalah kata-kata Penulis kepada pembaca. Setiap perkataan, setiap perenggan dan setiap bab di dalam buku tersebut adalah satu bentuk simbol dan tanda; dan kita sebagai pembaca buku itu perlu memahami apakah maksud atau makna di balik simbol dan tanda itu.

Namun, jika kita membaca (belajar/menelaah/mendalami) perkataan di dalam buku ini hanya sekadar memahami perkataannya sahaja, maka matlamat pembacaan itu menjadi kurang tepat. Tambahan, jika kita membaca (belajar/menelaah/mendalami) perkataan itu tanpa menyedari atau mengakui ia sebagai satu simbol dan petunjuk, ia juga menyebabkan matlamat pembacaan kita terpesong.

Dalam konteks ini, tujuan dan matlamat asal buku itu ditulis oleh sang Penulis adalah untuk memberitahu tentang kebenaran (Haq) kepada pembaca. Kita sebagai pembaca buku ini, perlu memahami dan menghayati maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh sang Penulis buku ini. Sememangnya kita perlu belajar untuk memahami perkataan yang tertulis di dalam buku itu, namun pembelajaran/pemahaman kita bukan sekadar terhenti di perkataan yang tertulis itu sahaja, tetapi perlu untuk kita teruskan pembelajaran/pemahaman kita untuk mengerti matlamat dan tujuan asal penulisan buku ini.

Huraiannya, buku yang dimaksudkan itu adalah alam dan kehidupan yang ada di atas alam ini. Kita sebagai mahasiswa sains, baik sains sosial atau sains aplikasi, telah diberi peluang untuk memahami aturan alam ini atau sunatullah-Nya. Namun, apakah cukup pembelajaran kita sekadar memahami aturan alam ini tanpa memahami kenapa alam ini diaturkan sebegitu rupa, atau mengenali siapa yang mengatur alam ini? Sesungguhnya, ilmu tentang alam itu adalah dari Allah, dan Allah-lah yang 'menulis' buku itu untuk kita memahami dan merenungi 'tulisan-Nya.' Dengan 'membaca perkataan' yang tertulis di 'buku' ini, harapnya kita akan lebih memahami apa yang ingin disampaikan oleh 'Penulis' itu.

Kesimpulannya, kita sebagai mahasiswa, perlu mempergiatkan lagi pemahaman kita terhadap ilmu yang kita pelajari. Kita bukan sekadar bertanggungjawab untuk memahami sains itu sahaja, namun sebagai individu muslim, kita perlu memahami hakikat dan tujuan sains itu sendiri, mengikut kaca mata kita (kaca mata Islam). Segala cabaran dan halangan dalam cabang ilmu sains ini, perlulah kita hadapi, dengan matlamat untuk mencapai maksud dan hakikat di balik ilmu sains ini. Semoga, dengan kefahaman kita di dalam cabang ilmu ini, maka mudahlah kita untuk memahami apa yang 'ditulis' oleh sang 'Penulis' itu.

p/s; Selamat maju jaya kepada mahasiswa yang bakal menghadapi peperiksaan akhir semester. Semoga kita dapat melalui cabaran ini dengan cemerlang dan mengerti hakikat pembelajaran kita selama ini. Selamat bermujahadah!

bacaan lanjut;
Islam and Secularism - Bab V: The Dewesternization of Knowladge. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.